ZULAIKHA dan Zahred beriringan ke tingkat 20 bangunan
Berjaya Corporation. Sesekali dia melihat jam dan telefon bimbit.
Hatinya gusar. Dia harus
bertemu seseorang hari ini.
Apa yang meresahkan wanita
ini? Fikir Zahred. Lif berhenti di tingkat 20, mereka disambut oleh pembantu
wanita dan membawa keduanya ke bilik mesyuarat.
Zulaikha diam di kerusi.
Resahnya masih menguasai. Telefon di tangan terus sahaja dia pandang dan
jari-jarinya bermain di skrin.
Doktor Liew, I tak dapat jumpa doktor hari ni. Can we make it tomorrow?
Zulaikha menghantar pesanan.
Dia tarik nafas lega apabila Doktor Liew membalas dan bersetuju untuk
bertemunya esok.
Zahred masih memerhati
wanita di hadapannya ini. Mahu sahaja dia terus bertanya.
“Zulaikha?” Seorang lelaki
berkot hitam yang baru muncul di bilik mesyuarat menyapa. Jelas wajahnya
sedikit terkejut.
Zulaikha bangun. Dia pandang
lelaki berkaca mata ini. Kemudian bibirnya ukir senyum.
“Razif kan?”
“Ya. Kenal pun saya.”
“Ya Allah, apa awak buat kat
sini?” Wajah Zulaikha yang muram tadi tiba-tiba ketawa mesra dan riang.
Zahred diam memerhati.
“Saya kerja kat sini, Zu.
Okey, mari saya kenalkan awak dengan bos saya.” Razif terus kenalkan Zulaikha
pada ketuanya. Zulaikha adalah teman satu universiti dia dulu.
Zahred nampak wajah Zulaikha
yang tiba-tiba ceria. Hatinya jadi marah pula. Kenapa dengan orang lain
Zulaikha boleh ceria dan gembira sedangkan bila mereka bersama, Zulaikha hanya
senyap dan jarang tersenyum.
Selesai mesyuarat mereka,
Zahred dan Zulaikha dihidangi makan tengah hari oleh Berjaya Corporation. Kata
Razif, hari ini hari ulang tahun kelahiran isteri bos, maka ketuanya itu
belanja semua staf Berjaya Corporation.
Melihat Zahred sudah selesai
makan dan gaya sedang berehat sendirian, Zulaikha hampiri Zahred. Takut juga
dia nak bersuara, bimbang disalah tafsir oleh Zahred Hadri. Nanti tak pasal dia
yang kena.
“Tuan Zahred, boleh tak
kalau saya balik dengan Razif?” pinta Zulaikha.
Zahred pandang Zulaikha tak
berkelip.
“Awak datang dengan saya,
Zulaikha. Bukan dengan Razif. Jadi kenapa awak nak balik dengan Razif? Lebih
utama, awak pekerja saya bukan pekerja Razif.” Suaranya bernada amaran.
Zulaikha telan air liur.
“Tapi…”
“Tak ada tapi Zulaikha, kita
balik boleh sekarang.”
Zahred terus berjalan. Razif
angkat kening. Zulaikha geleng kepala. Razif hanya tersenyum.
“Jom, saya hantar awak
sampai bawah. Tak puas nak sembang dengan awak.” Mereka beriringan keluar dari
bilik mesyuarat. Sepanjang perjalanan ke tingkat bawah, tak henti Zulaikha dan
Razif berbual diselangi ketawa dan senyum.
Zahred pula diam membatu.
“Okey Zu, jangan lupa call
saya. Saya rindu nak keluar makan dengan awak,” ujar Razif ketika keduanya
berhenti di pintu utama.
Zahred pula menelefon
pemandu agar menjemput mereka di sini. Diam berdiri di sebelah Zulaikha namun
matanya sesekali mengerling ke arah staf dan staf kliennya.
“Insya-Allah, ada kesempatan
kita keluar ya.”
“Dah tentu Zu, banyak yang
nak dibualkan. Saya dah simpan your number. I will call you, em… may be
tonight, boleh?”
Zulaikha angguk. Dia senyum
senang.
“Saya tunggu.”
Zahred tahan hati. Ah perempuan
sama sahaja.
Tiba-tiba dia jadi marah.
Tiba-tiba hatinya berang. Mujurlah pemandunya sudah sampai. Segera Zahred
melangkah menuju ke kereta.
“Saya pergi dulu, Razif.”
Cepat-cepat Zulaikha pergi. Dia menjeling ke arah Zahred seketika sebelum masuk
ke perut kereta di sebelah kanan.
Tidak lama dalam perjalanan,
Zahred arahkan pemandu berhenti di tepi taman awam Putrajaya.
“Kita buat apa kat sini?”
soal Zulaikha. Jauh benar tempat ini dengan pejabat Mega Emas.
Zahred masih diam. Tidak
keluar daripada kereta tetapi kereta diparkir di sini pula. Zulaikha berang.
“Tuan Zahred, kita buat apa
kat sini?” Nada Zulaikha ditekan sedikit.
Zahred masih diam. Bila lama
Zahred membisu, Zulaikha atur langkah keluar kereta. Berdiri menghadap tasik.
Dia tak faham langsung dengan sikap Zahred Hadri. Suka hati bila mahu marah.
Tengoklah sekarang, suka hati dia saja bawa dirinya ke sini. Dia sendiri pun
tak tahu apa motif Zahred bawanya ke sini. Tempat ini hanya sesuai untuk
keluarga beriadah atau pasangan bercinta.
Zahred keluar. Berdiri di
sebelah Zulaikha. Pandangannya sama dengan Zulaikha pada tengah tasik
Putarajaya.
“Kenapa kita kat sini?
Kenapa tak balik ofis saja?”
Zahred pandang Zulaikha.
Entahlah, dia sendiri tak tahu apa yang harus dia cakapkan pada Zulaikha saat
ini. Mahu marah? Tapi atas alasan apa?
“Saya nak duduk sini
sekejap,” ujar Zahred.
Zulaikha akur meski hatinya
memberontak untuk pulang. Dia sudah penat. Penat sampai dia rasa hanya mahu
pulang dan berehat saat ini.
“Jom,” ajak Zahred sambil
menunjuk bangku yang tersedia di situ.
Zulaikha geleng kepala.
Sebaliknya dia masuk ke perut kereta. Biarlah dia menanti Zahred di dalam
kereta daripada duduk berduaan di bangku itu.
“Pak cik, Tuan Zahred tu
lama lagi ke?” Zulaikha bertanya pada pemandu majikannya. Dia sudah penat
menanti sedangkan masa berjalan. Dia mahu pulang ke pejabat dan mahu segera
juga pulang ke rumah.
“Sekejap lagi kut, Cik
Zulaikha.”
Zulaikha lega apabila dia
nampak Zahred mengayun kaki ke arah kereta.
“Saya mahu awak siapkan
laporan tadi hari ini juga.”
Zulaikha pandang Zahred yang
baru masuk ke dalam kereta. Tak faham dengan sikap Zahred Hadri. Sudah
berkali-kali Zahred mengejutkannya dengan tingkah laku yang tidak diduga.
Baginya sungguh tak
munasabah dengan apa yang baru Zahred ucapkan. Pukul berapa nak sampai pejabat,
bila pula dia mahu siapkan dan bila pula dia boleh balik rumah?
“Saya tetap nak laporan hari
ni juga.” Zahred mengulang arahannya sebaik sampai ke Mega Emas.
“Tuan, sekarang dah jam 5.30
petang. Tuan nak saya siapkan juga laporan tu? Habis tu pukul berapa saya nak
balik?” Zulaikha cuba menahan rasa amarah yang sudah memenuhi diri.
“Selepas awak selesaikan
kerja.”
“Tuan…” Belum sempat
Zulaikha habiskan ayatnya, Zahred sudah keluar daripada perut kereta dan masuk
ke dalam bangunan Mega Emas.
Zulaikha menahan marah lagi. Sepanjang
perjalanan ke bilik pejabat, hatinya menggerutu geram. Pintu bilik dihempas
kuat menunjukkan protes pada arahan yang diberikan Zahred.
Zulaikha habiskan juga
kerjanya sehingga melewati jam 9.00 malam. Dia keluar dari bilik. Bilik Zahred
masih terang benderang. Ternyata lelaki itu juga belum pulang. Zulaikha kembali
ke biliknya, menyandar seketika di kerusi. Penat. Sungguh dia sangat penat.
Hadap muka Zahred, lagi dia rasa penat.
Tidak lama kemudian, fail di
tangan dibawa ke bilik Zahred. Setelah dua kali ketukan, dia masuk walaupun
suara Zahred mempelawa masuk tidak dia dengari.
“Laporan yang tuan nak. Saya
dah siapkan semuanya.” Fail diletakkan di atas meja.
Zahred cuma angguk tanpa memandang
Zulaikha.
“Saya balik dulu.” Zulaikha
melangkah.
“Zulaikha.”
Zulaikha mengeluh.
“Ada apa lagi, Tuan Zahred?
Ada lagi ke laporan yang saya harus siapkan malam ini?” Dalam nada menyindir
dia bertanya.
Zahred geleng. Deruan angin
daripada penghawa dingin menyejukkan seketika tubuh Zulaikha.
“Awak balik dengan apa?”
Zulaikha jongket bahu.
“Teksi.”
“Jangan! Bahaya.”
Zulaikha pandang Zahred.
Pelik dia dengar suara Zahred yang sedikit lantang tadi.
Tahu pulak dia bahaya. Dia
tak tahu ke dia yang letakkan aku dalam keadaan bahaya.
“Tak apa, tu risiko yang
harus saya tanggung bila pulang lewat malam. Selamat malam, Tuan Zahred.”
“Saya hantarkan.”
“Tak apa, tak perlu.”
“Saya hantarkan awak,
Zulaikha.”
“Tak perlu, susahkan tuan
sahaja nanti.” Zulaikha terus berlalu.
Zahred tarik nafas panjang.
Zulaikha aku ingin membenci
hati sendiri sepertimana aku bencikan wanita-wanita itu.
ZULAIKHA tiba di rumah
tatkala malam sudah jauh benar dibawa pergi.
“Abah, mommy okey?”
“Mommy macam itulah, Zu. Pergilah tengok mommy
dulu.”
Zulaikha angguk dan senyum.
Dia masuk ke bilik Loiusia atau nama Islamnya Hanan Khadijah. Tubuh yang
semakin mencengkung itu diselimutkan. Perlahan-lahan dahinya dikucup.
“Mommy, maafkan Zu
kerana balik lewat. Mommy, mommy segalanya bagi Zu. Mommy dunia
akhirat Zu, syurga untuk Zu. Zu akan lakukan apa sahaja yang termampu asal mommy
kembali sihat dan menjenguk indahnya dunia.”
Air matanya mengalir.
“Mommy, mommy telah
berkorban terlalu banyak demi cinta abah. Mommy rentas lautan, berkorban
jiwa dan raga demi sebuah cinta. Tinggalkan agama dan tinggalkan keluarga.
Daripada kehidupan yang mewah, mommy bahagia di sisi abah meski bersulam
susah. Zu akan lakukan apa sahaja. Zu janji sampai waktu yang ditetapkan, hati
Zu dan hati mommy akan bersatu.”
Zulaikha tinggalkan bilik mommynya.
Usai mandi dan matanya mahu terlelap, satu panggilan telefon telah mengejutkan
Zulaikha.
Tuan Zahred?
Melihat nama di paparan
skrin telefon, terbit rasa hairan di hati Zulaikha.
“Helo Tuan Zahred.”
“Zulaikha, awak di mana?”
“Kat rumah saya. To be
specific on my bed room. Kenapa, tuan?”
“Em, tak ada apa-apa. Good
night.”
Zulaikha geleng kepala.
Pelik dengan sikap Zahred Hadri. Matanya dipejamkan kembali. Tapi sangat sukar
untuk dia lelap kerana fikirannya menerawang. Matanya dicelikkan.
“Seratus ribu. Zu akan
usahakan, mommy.”
Setelah ibunya disahkan
menghidap penyakit hati dan perlukan penderma, dia sukarela menawarkan diri.
Ternyata hati mereka sesuai. Namun, kekangan kewangan untuk kos pembedahan pula
yang menjadi masalah.
Sungguh Zulaikha hilang
punca. Segala barang kemas sudah digadaikan tapi masih belum mencukupi. Hiba
hatinya melihat wanita yang sebelumnya sihat tiba-tiba sakit begitu. Luluh hati
seorang anak.
Segala bentuk bantuan
dipohon tapi satu pun tak ada yang sangkut. Ke Baitulmal pun sudah dan dapatlah
sedikit, alasannya dia bekerja dan bergaji besar.
Zulaikha raup wajahnya.
“Ya Allah, bantulah aku.
Beri aku jalan untuk dipermudahkan semua ini.”
Harapan itu masih ada bagi
orang-orang yang sentiasa yakin dengan ketentuan Tuhan.
Zulaikha pejam mata. Harap
mimpinya indah.
Pembelian novel
No comments:
Post a Comment